17 Februari 2010
TLDM tinggal mempunyai satu kapal pengangkut yaitu KD Sri Indera Sakti (photo : Ed Early)
PEMODENAN aset-aset ketenteraan merupakan langkah ke arah mentransformasikan sesebuah pasukan angkatan tentera menjadi pasukan yang seimbang, berwibawa, bersepadu dan bersedia menghadapi cabaran dalam menghadapi sebarang konflik.
Tidak ketinggalan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang kini semakin giat melaksanakan pemodenan ketenteraan dengan penuh profesionalisme dalam usaha memperkukuhkan lagi struktur angkatannya.
Keunggulan ATM jelas terserlah apabila angkatan itu kini memiliki aset yang kukuh dengan bilangan kapal perang dan pesawat pejuang terbaru.
Perolehan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dalam inventori terkini angkatan itu misalnya menjadikan ATM semakin gah di mata dunia.
Pembelian beberapa aset untuk cabang-cabang perkhidmatan ATM juga amat tepat selaras dengan hasrat angkatan itu untuk menjadi satu organisasi yang cekap dan siapsiaga.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) misalnya sedang berusaha untuk membuat perolehan baru untuk keperluan operasi kerana faktor keusangan kapal-kapal perang yang telah dimamah usia melebihi 25 tahun dan penyerahan sebahagian kapal-kapal ronda sedia ada kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Aset Terkini
KD Lekiu frigat serbaguna milik TLDM (photo : A. Zainul)
Justeru, TLDM kini giat berusaha menambah aset terkini seperti perolehan kapal selam, kapal frigat pelbagai guna, kapal kecil 'Littoral Combatant Ship (LCS)', kapal frigat latihan, kapal penangkis periuk api dan helikopter anti kapal selam demi mempertingkatkan tahap kesiagaan setanding negara jiran.
Sehubungan itu, TLDM sejak lima tahun lalu telah pun merencanakan program memperoleh kapal logistik pelbagai guna terutama bagi melengkapi kegunaan Pasukan Angkatan Bersama (PAB) kerana kapal-kapal sedia ada tidak mampu menampung keperluan tersebut.
Malah, kegunaan mendesak bagi Operasi Fajar mengawasi keselamatan kapal-kapal dagang di Teluk Aden di Somalia menyaksikan TLDM melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) terpaksa mengubah suai kapal kontena Bunga Mas 5 milik MISC Bhd. sebagai kapal bantuan pelbagai guna.
Sehubungan itu, Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa (MIEC) Langkawi pada 1 hingga 5 Disember lalu dilihat sebagai platform terbaik untuk TLDM mencari aset barunya dengan menjadikan kapal-kapal perang asing yang hadir sebagai panduan.
Kebanyakan kapal asing yang datang berlabuh di Awana Porto Malai di Pulau Langkawi itu merupakan kapal sokongan pelbagai guna (MSS) yang mempunyai pelbagai fungsi dan TLDM dilihat perlu memilikinya sebagai aset ketenteraan negara yang baru.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sememangnya sedang mempertimbangkan untuk memiliki tiga kapal MSS menjelang 2015 bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di perairan negara.
Langkah itu, katanya, diperkukuhkan lagi dengan kejadian kapal pengangkut milik TLDM, iaitu KD Sri Inderapura yang terbakar ketika berlabuh di Pangkalan TLDM Lumut pada 8 Oktober tahun lalu.
"Jadi ketika ini negara hanya memiliki sebuah kapal pengangkut iaitu KD Sri Indera Sakti dan dengan itu ATM berpendapat negara harus memiliki kapal lain yang mempunyai pelbagai fungsi selain kapal pengangkut," katanya.
Antara kapal perang asing yang hadir memeriahkan segmen maritim sempena LIMA 2009 lalu ialah dua kapal dari Pakistan iaitu PNS Khaibar dan PNS Moawin, ROKS Chungmugong Yi Sun Shin dan ROKS Dokdo dari Korea dan BRP Quezon dan BRP Dagupan City dari Filipina.
Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) pula menghantar kapal pemusnah USS Mustin, Singapura pula dengan Formidable, Australia dengan HMAS Glenelg, Thailand (HTMS Songkhla) dan INS Kesari dari India.
Kesemua kapal asing itu mempunyai kelebihan dan kecanggihannya yang tersendiri.
Persoalannya, adakah Malaysia terutamanya melalui TLDM sudah menemui kapal yang sesuai untuk dijadikan aset terbaru pasukan itu bukan sahaja untuk mencari pengganti KD Sri Inderapura tetapi dalam usaha TLDM memiliki sebuah kapal MSS yang canggih dan mencapai tahap dominan bagi mengawasi perairan negara jika berlaku ancaman hebat.
KD Sri Inderapura kini telah musnah dan tidak boleh digunakan lagi akibat kerosakan total dalam kejadian kebakaran itu dan ia seperti sukar diperoleh di pasaran selain faktor alat ganti terlalu mahal.
Adakah TLDM akan membeli kapal baru itu dari Korea Selatan, Jerman atau Perancis bagi menggantikan KD Seri Inderapura. Kerajaan Korea Selatan juga dikatakan bersedia memberi sebuah kapal pendarat sebelum kapal baru disiapkan.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan membuka tender termasuk di peringkat antarabangsa untuk membuat penilaian mengenai harga, reka bentuk dan spesifikasi kapal sebelum membuat pembelian.
"Buat masa ini kita juga telah menghantar pegawai ke beberapa negara untuk meninjau dan membuat penilaian mengenai kapal tersebut," katanya.
Menurutnya, jika tiada sebarang masalah, kemungkinan kerajaan akan memulakan pembelian kapal menggantikan Inderapura pada pertengahan tahun ini.
Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sememangnya sudah ada perancangan ATM untuk memiliki kapal MSS bagi menyediakan keperluan ketiga-tiga perkhidmatannya dalam sesuatu misi.
Selepas tragedi kebakaran yang menimpa KD Sri Inderapura, hanya dua kapal logistik iaitu KD Sri Indera Sakti dan KD Mahawangsa yang tinggal dan situasi ini sangat meruncing untuk mengatur gerak keperluan-keperluan semasa yang sangat mendesak.
Sebagai peningkatan terhadap aset sedia ada di samping memperkasakan keupayaan mobiliti Angkatan Bersama ATM, kapal MSS sepatutnya berupaya untuk mengangkut pesawat helikopter, kenderaan-kenderaan seperti kereta kebal, kereta perisai dan anggota tentera dalam jumlah yang besar ke lokasi operasi yang dirancang.
Kapal logistik terbesar yang pernah dimiliki TLDM setakat ini ialah KD Sri Inderapura.
Kini, sudah tiba masanya negara memiliki sekurang-kurangnya sebuah kapal sokongan pelbagai guna atau MSS ke arah mengoptimumkan keupayaan pertahanan negara.
Walaupun bebas dan selamat daripada ancaman musuh, negara masih memerlukan peralatan dan kelengkapan yang gah. Jika tidak, negara akan ketinggalan dalam aspek kecanggihan teknologi perkapalan terkini.
Sekiranya perkara demikian tidak diambil kira, tidakkah negara luar akan melihat Malaysia masih menggunakan kapal lama dalam usaha menjaga perairan negara sekali gus beranggapan negara tidak serius dan mengambil ringan aspek keselamatan perairan negara.
(Utusan)
Không có nhận xét nào:
Đăng nhận xét